Perpustakaan KMK ditubuhkan selaras dengan pembangunan kolej untuk membina para pelajar yang berilmu dan berpengetahuan luas. Menjadi tanggungjawab untuk menjadikan Perpustakaan sebagai "One Stop Centre" selaras dengan sasaran di peringkat Bahagian Matrikulasi. Dengan itu pelbagai usaha ditingkatkan supaya sasaran ini tercapai. Sebagai permulaan, setiap bilik dan kemudahan di dalam Perpustakaan dimaksimakan kegunaannya supaya dapat membentuk satu jaringan perkhidmatan yang berkualiti.

Keahlian adalah terbuka kepada semua warga kolej dan pendaftaran adalah percuma. Terdapat pelbagai kemudahan di Perpustakaan. Ini meliputi 25000 bahan yang terdiri daripada buku-buku, jurnal-jurnal, majalah-majalah dan bahan elektronik. Bahan-bahan ini disusun menggunakan sistem pengkelasan DDC dan LCSH sebagai penentuan tajuk perkara. Perpustakaan menyediakan ruang belajar yang luas dan selesa. Antara lain kemudahan yang turut disediakan adalah OPAC, pinjaman buku, ruang karel, siber remaja, bilik perbincangan, bilik tayangan, audio visual, pinjaman majalah, keratan akhbar dan kertas soalan peperiksaan. Kemudahan-kemudahan ini dapat digunakan pada bila-bila masa oleh para pelajar dan juga kakitangan KMK.

Perpustakaan KMK bukan sahaja menumpukan dalam bidang akademik. Ia juga meliputi ruang riadah yang sihat di dalam Perpustakaan. Ini dapat memberi ruang kepada para pelajar untuk beristirehat sambil memanfaatkan masa yang terluang. Perpustakaan KMK menyediakan Bilik Istirehat yang dilengkapi dengan sofa, tv dan alat permainan "Indoor Game". Ini dapat menggalakkan lagi para pelajar belajar di Perpustakaan dan tidak membuang masa di tempat lain yang tidak sepatutnya.